TUJUH kanak-kanak dan remaja yang dikhuatiri hilang di Kampung Kebayau sejak semalam ditemui selamat. FOTO RECQUEAL RAIMI.
TUJUH kanak-kanak dan remaja yang dikhuatiri hilang di Kampung Kebayau sejak semalam ditemui selamat. FOTO RECQUEAL RAIMI.
Recqueal Raimi


Kota Belud: Kehilangan tujuh kanak-kanak dan remaja termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kebayau sejak semalam akhirnya terjawab apabila mereka ditemui selamat, pagi ini.

Semua mangsa berusia tiga hingga 15 tahun itu ditemui penduduk kampung pada jam 7.40 pagi sejauh 1.5 kilometer dari kawasan kampung berkenaan.

Penduduk, Robert Santim, 50, berkata, dia serta dua lagi rakannya, Jolius Sumbing, 41 dan Vincent Sikin, 36, menemui semua mangsa di sebuah pondok di kawasan kebun pokok getah dan buah-buahan.

"Kami (penduduk) risau memikirkan keadaan mereka apatah lagi sebahagiannya autisme dan terus mencari sehingga jeritan kami didengari semua mangsa."

"Syukur, mereka (mangsa) ditemui dalam keadaan selamat walaupun ada yang mengalami luka kecil," katanya.

Menurutnya, remaja dan kanak-kanak itu dikatakan pergi mencari labi-labi di anak sungai yang terletak berhampiran puncak bukit.

"Mereka yang berbekalkan roti dan air tidak menyedari cuaca semakin gelap dan terpaksa menginap di pondok yang berhampiran," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, semua mangsa menjalani pemeriksaan rawatan oleh pihak paramedik.

"Dua daripada tujuh mangsa itu dihantar ke hospital Kota Belud akibat luka kecil dan perlu menjalani pemeriksaan lanjut."

"Mangsa lain diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing manakala operasi ditamatkan jam 9.30 pagi ini," katanya.

Kira-kira jam 3 petang semalam, mangsa Freddy Kerinsuk (OKU), 15; Arni Kerinsuk (OKU), 13; Alistar Kerinsuk (OKU), 9; Royce Kerinsuk, 3; Meclorn Datine, 12; Elson Evan Lie Willie, 11 dan Elcy Jackter, 5, kali terakhir dilihat penduduk sebelum dilaporkan dikhuatiri hilang.

Operasi SAR itu turut disertai bantuan unit anjing pengesan (K9) dan lebih 30 penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 9:50 AM