GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


SEMUA perbicaraan dan pendengaran kes sivil serta jenayah di mahkamah di seluruh negara ditangguhkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Unit Komunikasi Korporat Istana Kehakiman dalam kenyataan, hari ini memaklumkan, penangguhan bermula esok sehingga 31 Mac dan tarikh baharu bagi kes yang ditangguh akan dimaklumkan kemudian.

Menurutnya, mahkamah yang tidak mempunyai sistem eKehakiman, pemfailan kes sivil baharu dan dokumen hanya diterima mulai 1 April ini, manakala mahkamah yang menggunakan sistem eKehakiman, pemfailan kes sivil baharu, notis rayuan dan dokumen akan berjalan seperti biasa.

“Bagi kes Mahkamah Sesyen yang memerlukan kesegeraan, pemfailan boleh dibuat di mahkamah berdekatan yang mempunyai sistem eKehakiman di negeri berkenaan.

“Bagi permohonan perakuan segera di Mahkamah Persekutuan, Timbalan Kanan Pendaftar atau Timbalan Pendaftar akan mengendalikan dokumen dan mendapatkan arahan Ketua Hakim Negara.

“Begitu juga permohonan perakuan segera di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen, dokumen akan dikendalikan pegawai terbabit,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, katanya, pengurusan kes sivil secara eReview akan dijalankan seperti biasa secara dalam talian, manakala pengurusan kes sivil secara manual akan ditangguhkan dan diberi tarikh baharu.

“Permohonan reman mengikut Seksyen 117 serta Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Imigresen 1959/1963 akan dijalankan seperti biasa.

“Jika terdapat keperluan untuk pendaftaran kes baharu, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret yang bertugas bagi tujuan persediaan,” katanya.

Katanya, permohonan ikat jamin bagi kesalahan yang boleh dijamin, Pengarah Mahkamah Negeri akan memastikan urusan jamin diproses seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 6:28 PM