SUSPEK ditahan polis. FOTO ihsan bomba
SUSPEK ditahan polis. FOTO ihsan bomba
Mohd Roji Kawi


GARA-gara mabuk, seorang lelaki menggemparkan penduduk sebuah rumah panjang di Telok Batu di Bintangor, apabila dia bertindak membakar rumahnya semalam.

Sumber berkata, kejadian kira-kira 2 petang itu disedari penduduk yang kemudian menghubungi talian kecemasan selepas api mula marak di rumah berkenaan.

Difahamkan ketika penduduk berusaha memadam kebakaran itu sementara menunggu anggota bomba tiba, mereka menyedari kebakaran itu dicetuskan oleh pemilik rumah itu sendiri.

Sumber berkata, lelaki berusia 25 tahun itu kemudian melarikan diri selepas api marak memusnah keseluruhan rumahnya.

“Bagaimanapun, polis yang tiba di lokasi berjaya menahan lelaki itu selepas kebakaran dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba,” katanya.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Sekam Anoi mengesahkan penahanan lelaki berstatus duda itu.

“Ketika tangkapan dilakukan, suspek masih berada di bawah pengaruh alkohol dan dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Sekam, dua motosikal turut musnah dalam kebakaran itu dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM65,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.09 petang.

Beliau berkata, setibanya di lokasi, tujuh anggotanya mendapati kebakaran itu sudah hampir memusnahkan keseluruhan rumah terbabit dan pihaknya segera mengawal api daripada merebak ke rumah panjang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 3:14 PM