ROSOL Wahid. FOTO arkib NSTP
ROSOL Wahid. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar

TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid bersedia memotong gajinya bagi mengurangkan bebanan kewangan negara.

Jelasnya, semua menteri dan timbalan menteri kabinet dicadang untuk tidak keberatan gaji dipotong bagi meringankan kewangan negara.

“Terpulang kepada kerajaan untuk membuat ketetapan jumlah peratus gaji yang akan dipotong,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi pusara bapanya, Wahid Chik di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Diman, Kuala Berang, hari ini.

ROSOL (dua kiri) dan isteri, Toh Puan Halipah Ahmad ketika menziarahi pusara ayahnya, Wahid Chik. FOTO Baharom Bakar
ROSOL (dua kiri) dan isteri, Toh Puan Halipah Ahmad ketika menziarahi pusara ayahnya, Wahid Chik. FOTO Baharom Bakar

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, demikian ketika mengulas cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya Jemaah menteri dan timbalan menteri bersedia untuk pemotongan gaji bagi menjimatkan kewangan negara.

Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, Rabu lalu dilaporkan bersedia untuk gajinya dipotong antara lima hingga 10 peratus berikutan keadaan fiskal negara.



Rosol bagaimanapun menyerahkan kepada kerajaan untuk menetapkan jumlah potongan gaji, tetapi mencadangkan pemotongan gaji menteri lebih tinggi daripada timbalan menteri.

Ketika mengulas arahan Muhyiddin agar semua anggota Kabinet mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosol menjelaskan, semua ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BRRSATU), sudah membuat pengisytiharan Jun lalu.

Katanya, semua ahli parlimen BERSATU sudah mengisytiharkan harta selepas perkara itu dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat, 1 Julai lalu.

“Dewan Rakyat meluluskan dan mewajibkan semua ahli parlimen termasuk wakil pembangkang membuat pengisytiharan harta.

“Ahli parlimen Bersatu bukan sahaja mengisytiharkan harta, sebaliknya secara sukarela mengisytiharkan jumlah pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 11:55 AM