DATUK Rosol Wahid.
DATUK Rosol Wahid.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengesahkan sudah menandatangani akaun bersumpah (SD) sebagai sokongan kepada Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Tanpa mendedahkan pilihannya, Rosol menjelaskan SD berkenaan diserahkan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Katanya, Ahli Parlimen daripada Bersatu bersepakat memberi mandat kepada Muhyiddin untuk menyerahkan SD yang ditandatangani kepada istana.

"Kita sudah menandatangani SD seperti notis dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan saya berkeyakinan semua Ahli Parlimen Bersatu sudah melaksanakan arahan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosol yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagaimanapun enggan mengulas nama ahli dewan rakyat yang dipilihnya untuk diberi kepercayaan sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

"Kita bersepakat menyerahkan mandat sepenuhnya kepada Muhyiddin untuk menyerahkan SD kepada pihak Istana Negara sebelum jam 4 petang hari ini," katanya.

Sementara itu, usaha mendapatkan pengesahan mengenai SD seperti notis dikeluarkan Azhar daripada tujuh lagi Ahli Parlimen gagal.

Difahamkan, semua Ahli Parlimen Pas dari negeri ini sedang mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 1:10 PM