Rosol Wahid
Rosol Wahid
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dijanjikan imbuhan termasuk jawatan dalam Kabinet apabila menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, sokongan penuh daripada 35 ahli parlimen parti itu kepada Ismail Sabri diberikan selepas mengambil kira kepentingan rakyat yang terkesan disebabkan penularan pandemik Covid-19, perlu diberi keutamaan.

Katanya, tiada sebarang imbuhan terutama berkaitan dengan jawatan dalam Kabinet ditawarkan Ismail Sabri.

"Keputusan kami bersetuju menandatangani akaun bersumpah (SD) menyokong Ahli Parlimen Bera sebagai perdana menteri dibuat secara sukarela dan tiada paksaan termasuk daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Muhyiddin ketika perjumpaan dengan semua ahli parlimen Bersatu kerap membangkitkan soal kepentingan dan keselamatan rakyat dalam menghadapi situasi pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian ketika mengulas dakwaan semua ahli parlimen daripada Bersatu ditawarkan sesuatu termasuk jawatan dalam Kabinet jika menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Beliau berkata, Muhyiddin tidak memaksa ahli parlimen Bersatu untuk menandatangani SD menyokong Ismail Sabri, sebaliknya hanya memberi pandangan dan nasihat.

"Kami bersetuju menyokong Naib Presiden Umno itu sebagai perdana menteri selepas mengambil kira kepentingan rakyat perlu diutamakan.

"Ada perbincangan antara Muhyiddin dan Ismail Sabri, tetapi kami tidak dimaklumkan hasil perbincangan antara dua pemimpin itu dan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai perdana menteri dipersetujui demi kepentingan rakyat," katanya yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 2:39 PM