ROSOL. FOTO Rozainah Zakaria
ROSOL. FOTO Rozainah Zakaria
Baharom Bakar


AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid akan menyokong jika Perdana Menteri bercadang menubuhkan kerajaan Pakatan Nasional (PN).

Katanya, jika penubuhan kerajaan PN boleh menguntungkan rakyat berbilang bangsa, agama dan negara, semua pihak termasuk ahli parlimen perlu memberi sokongan.

“Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tentunya mempunyai agenda tertentu untuk melaksanakan pelbagai agenda demi kepentingan seluruh rakyat.

“Saya secara peribadi akan memberi sokongan penuh jika Tun Dr Mahathir berhasrat untuk menubuhkan kerajaan PN, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program wacana pendidikan dan menyampaikan bantuan pengurusan berjumlah RM107,000 kepada 62 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani dan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Rosli Chik.

ROSOL (dua kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM107,000 kepada Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Rosli Chik (dua kanan) pada majlis wacana pendidikan dan sumbangan bantuan kewangan pengurusan PIBG daerah Hulu Terengganu.FOTO Baharom Bakar
ROSOL (dua kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM107,000 kepada Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Rosli Chik (dua kanan) pada majlis wacana pendidikan dan sumbangan bantuan kewangan pengurusan PIBG daerah Hulu Terengganu.FOTO Baharom Bakar

Rosol berkata demikian ketika diminta mengulas wujud desas-desus kononnya bakal wujud kerjasama baharu politik dinamakan PN membabitkan parti Bersatu, bersama UMNO dan PAS.

Mengulas mengenai kenyataan beberapa pemimpin parti politik yang mendakwa penubuhan kerajaan PN berbahaya dan boleh menimbulkan permusuhan terbuka dengan orang bukan Islam, Rosol berkata, dakwaan itu tidak tepat kerana hak kaum lain juga tidak akan dipinggirkan kerajaan.

Ditanya sama ada Dr Mahathir pernah menyuarakan hasrat untuk penubuhan PN, Rosol berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu tidak pernah menyatakan mengenai perkara itu ketika mengadakan perjumpaan dengan ahli parlimen dari Bersatu.

“Jika betul desas-desus itu, saya akan memberi sokongan demi kepentingan seluruh rakyat, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 5:18 PM