Tinjauan penggunaan lorong RFID di Plaza Tol Sungai Besi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Tinjauan penggunaan lorong RFID di Plaza Tol Sungai Besi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penggunaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, berjalan lancar dengan bantuan beberapa petugas Plus Malaysia Berhad (Plus) berada di lorong sistem berkenaan.

Tinjauan Harian Metro dari Plaza Tol Bangi, Selangor menuju ke Plaza Tol Sungai Besi, kira-kira 8 pagi tadi mendapati aliran trafik berjalan lancar.

Di Plaza Tol Bangi, terdapat empat lorong membabitkan tiga lorong Touch 'n Go dan satu lorong RFID di kedua-dua arah dan aliran trafik di semua lorong berkenaan berjalan lancar.

Di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar, terdapat 12 lorong membabitkan sembilan lorong Touch 'n Go , dua lorong Smart Tag dan dua lorong RFID.

Sehingga jam 8 pagi tadi, aliran trafik sehingga ke plaza tol berkenaan lancar, namun di lorong RFID dan Smart Tag bergerak perlahan.

Ia susulan kesesakan lalu lintas selepas plaza tol berkenaan kerana jumlah kenderaan yang tinggi menuju ke pusat bandar.

Beberapa petugas Plus turut dilihat berada di lorong RFID dan Smart Tag bagi membantu kelancaran trafik di lorong-lorong berkenaan.

Sementara itu, aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Selatan pula berjalan lancar di semua lorong termasuk di lorong RFID.

Semalam, media melaporkan Plaza Tol Bandar Seri Putra, Bangi, dan Plaza Tol Sungai Besi didakwa sesak teruk kerana penggunaan RFID di kedua-dua plaza tol berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Plus mencatatkan kadar migrasi yang menggalakkan sebanyak 10 peratus transaksi sistem RFID selepas ia dilaksanakan pada 15 Januari lalu di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan.

Plus dalam kenyataan semalam memaklumkan pihaknya menghargai maklum balas dan pandangan orang ramai terhadap isu kesesakan yang timbul di plaza tol dan sudah mengambil tindakan penambahbaikan berdasarkan maklum balas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 10:13 AM