KEADAAN kenderaan dinaiki mangsa. FOTO ihsan polis
KEADAAN kenderaan dinaiki mangsa. FOTO ihsan polis
Omar Ahmad


MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak lima hari lalu terjawab apabila dia ditemui meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 23 Jalan Kota Tinggi-Mersing, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, pada 8.15 malam tadi pihaknya menerima maklumat kes kemalangan maut.

Katanya, sebuah Proton Persona ditemui orang awam di lereng bukit dalam jarak kira-kira 20 meter dari jalan besar bersama mayat tersepit di bawah kenderaan.

“Kejadian juga dipercayai berlaku beberapa hari berikutan keadaan mayat.

“Mayat yang berpakaian lengkap itu ditemui dengan kecederaan parah di badan dan kepala.

“Berdasarkan dokumen diri, mangsa ialah Muhammad Izzudin Israfil,30, yang beralamat di Taman Sri Puteri Mersing yang dilaporkan hilang di Balai Polis Ulu Tiram sejak 7 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Cyril berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing bagi bedah siasat.

“Waris mangsa dikesan bagi tujuan pengecaman,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 11:58 PM