NAJIB pada prosiding bela diri terhadap tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM4 juta SRC International di Mahkamah Jalan Duta pada 3 Mac lalu. FOTO arkib NSTP
NAJIB pada prosiding bela diri terhadap tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM4 juta SRC International di Mahkamah Jalan Duta pada 3 Mac lalu. FOTO arkib NSTP
Murni Wan Omar


PIHAK pendakwaan diberi ‘lampu hijau’ untuk meneruskan kes terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan jenayah membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Ia berikutan peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram kekal diberi mandat untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes berprofil tinggi membabitkan Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun yang memaklumkan bahawa perkara itu sudah dimaklumkan kepada Sri Ram pada Sabtu lalu.

Beliau juga mengesahkan bahawa peguam Datuk V Sithambaram juga kekal berada dalam pasukan pendakwaan dalam kes membabitkan Najib.

Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam empat kes berprofil tinggi iaitu membabitkan skandal 1MDB, kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang dihadapi Najib bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy serta kes rasuah yang dihadapi Rosmah.

Manakala Sithambaram pula berada dalam pasukan pendakwaan dalam kes membabitkan skandal SRC International Sdn Bhd.

Idrus dilantik sebagai Peguam Negara baharu untuk tempoh dua tahun bermula 6 Mac lalu bagi menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang melepaskan jawatan itu pada 28 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 9:25 PM