(Dari kiri) Amar Singh, Thomas dan Mohd Shukri
(Dari kiri) Amar Singh, Thomas dan Mohd Shukri
Reuters

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemukakan saman sivil terhadap tiga penyiasat kanan yang mengendalikan siasatan terhadap dana berbilion ringgit dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Usahanya itu dilihat cuba menutup kritikan awam terhadap dakwaan bahawa beliau memainkan peranan besar dalam kes terbabit.

Memetik laporan agensi, melalui tindakan balas perundangan itu, Najib selaku plaintif menyaman tiga pegawai tertinggi yang terbabit dalam siasatan skandal 1MDB, iaitu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Peguam Negara Tommy Thomas yang dinamakan selaku defendan.

Melalui tiga saman sivil yang difailkan pada 30 Jun lalu tetapi hanya ditunjukkan kepada agensi berita itu pada Rabu lalu, peguam Badrul Abdullah yang mewakili Najib mendakwa ketiga-tiga individu terbabit bertindak secara prejudis terhadap anak guamnya sepanjang tempoh siasatan.

Badrul yang mengetuai salah satu daripada dua firma guaman yang mewakili Najib berkata, ia berdasarkan kepada kenyataan terdahulu yang dibuat oleh ketiga-tiga individu berkenaan.

“Kami memohon mahkamah memutuskan sama ada terdapat unsur konflik kepentingan dalam kalangan individu mengendalikan kes ini,” kata Badrul kepada Reuters.

Badrul berkata, anak guamnya turut menuntut kos dan perintah lanjut serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam Najib dan peguam defendan dijadualkan bertemu dengan dua hakim bagi prosiding pendengaran sebelum perbicaraan secara berasingan pada 16 Julai ini.

Mohd Shukri dalam kenyataan media pada Mei lalu berkata, beliau ditekan ketika mengendalikan siasatan terhadap 1MDB pada tahun 2015, sementara Amar Singh mengetuai pasukan polis yang membawa kepada penemuan barangan mewah yang bernilai di antara RM900 juta dan RM1.1 bilion daripada premis yang dikaitkan dengan keluarga Najib.

Manakala Thomas yang mengetuai pasukan pendakwaan pada Rabu lalu mengemukakan pendakwaan terhadap Najib dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta berhubung syarikat SRC International Sdn Bhd.

Pihak berkuasa juga sudah membekukan beratus-ratus akaun bank yang disyaki menerima wang daripada 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 9:18 PM