FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


SAMA ada prosiding bicara skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bermula minggu depan atau tidak, masih belum dapat diputuskan.

Ia berikutan terdapat beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum kes yang akan membabitkan lebih 60 saksi tempatan dan luar negara itu bermula.

Prosiding bicara kes dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib dan pasukan pembelaan yang sama juga masih belum selesai di peringkat pendakwaan.

Ketika pengurusan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan petang esok untuk pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah berhubung perkembangan baru kes itu.

Beliau bagaimanapun turut memerintahkan pihak pendakwaan supaya menyediakan saksi bagi memberi keterangan Selasa ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon mahkamah memulakan prosiding bicara Selasa ini.

Ia berikutan pada Isnin depan, terdapat pendengaran bagi permohonan pihak pembelaan untuk menggugurkan beliau daripada mengetuai pasukan pendakwaan bagi kes 1MDB itu.

Sementara itu peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula memohon mahkamah memulakan perbicaraan pada 3 September ini.

“Yang Arif, permohonan kami pada Isnin ini sekurang-kurangnya akan mengambil masa setengah hari.

“Kami juga perlu meneliti 15 ikatan dokumen yang mengandungi lebih 700 dokumen berhubung kes 1MDB diberi oleh pihak pendakwaan baru-baru ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram yang menyertai pasukan perbicaraan membabitkan dana SRC International pula berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan kes mereka kepada mahkamah selepas 4.30 petang esok.

Ia berikutan sehingga kini saksi terakhir kes itu Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas SPRM, Rosli Husain, sedang dalam peringkat soal balas oleh pihak pembelaan.

Pada 20 September tahun lalu. Najib didakwa atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 1:12 PM