ANGGOTA CKAPS melakukan pemeriksaan sebelum menyita klinik di Jalan Arumugam Pillai yang beroperasi tanpa lesen. FOTO Ihsan JKN.
ANGGOTA CKAPS melakukan pemeriksaan sebelum menyita klinik di Jalan Arumugam Pillai yang beroperasi tanpa lesen. FOTO Ihsan JKN.
Hadzlihady Hassan


DEGIL tidak mahu memperbaharui lesen menyebabkan klinik di Jalan Arumugam Pillai, Bukit Mertajam disita selepas didapati beroperasi secara haram, sejak awal tahun lalu.

Sitaan selepas operasi oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, pada 11 pagi hari ini.

Disebabkan tiada lesen, klinik itu didapati beroperasi dengan membuka pintu belakang premis untuk pesakit masuk.

Sumber JKN Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima aduan sejak awal tahun lalu mengenai klinik berkenaan yang dikendalikan doktor berusia 60-an.

“Klinik itu asalnya adalah milik bapa doktor berkenaan namun, dia meninggal dunia awal tahun lalu kerana masalah kesihatan.

“Berikutan itu, anak lelakinya mengambil alih tetapi tidak memperbaharui lesen untuk membolehkan klinik itu terus beroperasi,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya sudah memanggil doktor itu dan menerangkan keperluan memperbaharui lesen untuk beroperasi.

“Bagaimanapun, dia gagal berbuat demikian, malah turut dikesan menjalankan operasi dengan membuka pintu belakang di klinik berkenaan.

“Berikutan itu kita terpaksa menampal notis menghentikan operasi mengikut Seksyen 91(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatah Swasta 1998,” katanya.

Difahamkan, klinik terbabit terkenal dalam kalangan pesakit kencing manis yang mendapatkan rawatan untuk mencuci luka di kaki.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib ketika dihubungi mengesahkan yang klinik terbabit terpaksa ditutup kerana beroperasi tanpa lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 6:40 PM