UTP.
UTP.
BERNAMA

Ipoh: Universiti Teknologi Petronas (UTP) menduduki tempat pertama universiti swasta terbaik di Malaysia dan tempat kedua bagi keseluruhan universiti di negara ini, iaitu selepas Universiti Malaya (UM), oleh Times Higher Education (THE) World University Rankings 2022.

UTP dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan kedudukan ranking terbaharu itu, universiti itu memperbaiki kedudukannya berdasarkan tiga metrik atau ukuran, iaitu pemetikan sumber, penyelidikan dan gambaran antarabangsa.

"Buat kali pertamanya, UTP melepasi band 501-600, iaitu peningkatan daripada band terdahulu 601-800. Ini pencapaian terbaik universiti ini sejak penyertaannya pada 2017.

"Pencapaian ini antara bukti UTP amat bertekad dalam melaksanakan komitmennya kepada semua pihak berkepentingan, terutama syarikat induk kami Petronas, pelajar, ibu bapa, pihak penaja dan rakan kerjasama," menurut Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Beliau berkata, UTP akan meneruskan momentum sebagai universiti utama dalam kalangan universiti antarabangsa yang setanding dengannya, dengan menyusun semula fokus strategi penyelidikan universiti itu bagi menghasilkan penerbitan berimpak tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 6:12 PM