SYERIEFAZRIZAN Norazman, pelajar OKU kategori "partial blindness" ( kiri ) bersama ibunya, Anisah Basarah ( kanan ) dalam majlis Pengumuman Keputusan SPM 2019 negeri Sabah bertempat di SMK St Michael. FOTO Rafiqah Dahali
SYERIEFAZRIZAN Norazman, pelajar OKU kategori "partial blindness" ( kiri ) bersama ibunya, Anisah Basarah ( kanan ) dalam majlis Pengumuman Keputusan SPM 2019 negeri Sabah bertempat di SMK St Michael. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali


STATUSNYA sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan tidak sedikit menghalang Syeriefazrizan Norazman, 17, mencipta kecemerlangan dalam keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Pelajar OKU kategori “partial blindness” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, Tuaran itu menerima keputusan peperiksaan bagi kategori D (calon istimewa) itu 1A+,5A dan 1B.

“Hari ini saya sangat gembira dan terharu kerana turut tersenarai menerima anugerah pelajar cemerlang sekolah ini. Ini adalah bukti kekurangan diri bukan penghalang sebaliknya menjadi kelebihan saya.

“Saya selalu berdepan dengan stigma orang ramai yang menganggap golongan OKU tidak akan berjaya dan suka meraih simpati. Namun saya bertuah kerana guru dan rakan-rakan banyak membantu saya,” katanya.

Syeriefazrizan ditemui dalam majlis pengumuman keputusan SPM 2019 di SMK St Michael di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia bercadang melanjutkan pengajian di institut perguruan kerana bercita-cita menjadi guru Matematik dan Bahasa Melayu.

Sementara itu, Mistirine ketika berucap berkata, pencapaian calon SPM 2019 di Sabah menunjukkan peningkatan dari segi kualiti.

“Pada keseluruhannya, pencapaian calon SPM negeri Sabah bagi 2019 menunjukkan peningkatan dari segi kualiti berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN).

“Pencapaian GPN SPM 2019 adalah 5.38 berbanding dengan 5.44 pada tahun 2018 iaitu meningkat sebanyak 0.06.

“Seramai 198 orang calon berjaya dengan cemerlang memperoleh gred A pada 2019 berbanding 152 calon pada 2018 iaitu peningkatan seramai 46 calon,” katanya.

Seramai tujuh pelajar cemerlang SPM 2019 yang hadir dalam majlis berkenaan yang terdiri daripada sekolah SMKA Kota Kinabalu, SMK Sung View dan SMK St Michael Penampang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 2:37 PM