PKHARUDDIN Ghazali (tengah) menyerahkan slip SPM kepada Maryam Safiyah. FOTO Mohd Amin Jalil.
PKHARUDDIN Ghazali (tengah) menyerahkan slip SPM kepada Maryam Safiyah. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


NEGERI Sembilan berjaya mengekalkan kedudukan tempat kedua di peringkat kebangsaan empat tahun berturut-turut dalam pencapaian terbaik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas Putrajaya yang menduduki tempat pertama yang diumumkan hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya akan terus gigih berusaha bagi mengekal dan meningkatkan lagi prestasi itu untuk tahun akan datang dan mempertahankan pencapaian Negeri Sembilan di peringkat kebangsaan.

Menurutnya, seramai 498 calon SPM 2019 di negeri itu berjaya memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Katanya, bilangan itu meningkat seramai 58 calon berbanding pada 440 calon pada 2018 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 3.47 peratus.

“Mereka adalah daripada keseluruhan 14,332 calon dari 116 sekolah yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu.

“Seramai 12,506 atau 87.3 peratus daripada keseluruhan 14,332 calon yang mengambil peperiksaan itu layak dianugerahkan Sijil SPM,” katanya ketika sidang media mengumumkan keputusan SPM 2019 di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Bandar Enstek di sini.

Hadir sama Timbalan Pengarah JPNS Md Fiah Md Jamin dan Pengetua TKC Anismah M Noh.

Menurutnya, seramai sembilan orang calon daripada tujuh sekolah berjaya mendapat keputusan paling cemerlang iaitu memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

“Bagaimanapun, bilangan calon yang memperoleh semua A+ dalam mata pelajaran pada 2019 menurun berbanding 2018 dengan seramai 20 calon.

“Bilangan yang memperoleh semua A bertambah 69 orang kepada 489 calon berbanding 420 pada 2018.

“Apa yang menggembirakan kami, pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) calon di luar bandar meningkat kepada 4.65 peratus pada tahun lalu berbanding 4.67 peratus pada 2018.

“Selain itu, tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah turut menunjukkan peningkatan prestasi baik sebanyak 0.37 peratus,” katanya.

Sementara itu, TKC pula diumumkan sebagai sekolah terbaik untuk pencapaian SPM di peringkat negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, TKC mencatat sejarah tersendiri kerana mencatatkan GPN yang tertinggi iaitu 1.15 yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“Saya menghargai peranan media yang terus memberikan kerjasama dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam pendidikan demi kepentingan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 5:56 PM