MENTERI Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua kanan) bersama kepimpinan exco. FOTO Sharul Hafiz Zam
MENTERI Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua kanan) bersama kepimpinan exco. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


MESYUARAT Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Kedah membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka diadakan esok.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah Tan Kok Yew berkata, pihaknya masih menjalankan tugas seperti biasa bagi memastikan kelancaran kerja yang dijadualkan sebelum ini.

“Saya sendiri ada berjumpa dengan pelabur semalam dan kami memberi taklimat kepada pelabur mengenai potensi pelaburan di Kedah.

“Malah, saya difahamkan akan diadakan mesyuarat EXCO seperti biasa, esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Kok Yew yang juga Pengerusi DAP Kedah tidak mengulas lanjut mengenai taklimat pelaburan berkenaan.

Turut difahamkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berada di Kuala Lumpur dijangka kembali ke Kedah, malam ini.

Berikutan kejatuhan kerajaan PH, kerajaan negeri Kedah yang dibarisi kepimpinan gabungan PH dan Bersatu dijangka berubah berikutan langkah Mukhriz tidak menyokong pelantikan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ketika ini menunjukkan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (7), Bersatu (6), Parti Amanah Negara (4), UMNO (2) dan DAP (2).

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 2:43 PM