MUHAMMAD Sanusi Md Noor. FOTO Arkib NSTP.
MUHAMMAD Sanusi Md Noor. FOTO Arkib NSTP.
Noorazura Abdul Rahman


SEBARANG pertukaran pada kepimpinan kerajaan negeri Kedah termasuk jawatan Menteri Besar tidak akan berlaku secara gopoh bagi menghormati amalan demokrasi di negara ini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PAS Kedah mahu menunjukkan amalan politik matang selepas pelbagai kemelut yang berlaku sebelum ini.

“Kita tak mahu kalut sangat, kita tak mahu rakyat nampak kita gopoh, kalau nak buat perubahan biar ia berlaku dengan licin, sempurna dan saling menghormati amalan demokrasi negara.

“Apa pun kita tunggu arahan PAS Pusat dari semasa ke semasa. Buat masa ini kita tunggu dan lihat perkembangan Kerajaan Pusat yang baharu,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar, hari ini.

Ketika ditanya adakah PAS Kedah sudah mengadakan mesyuarat bersama UMNO Kedah sebagai persediaan menjadi kerajaan negeri baharu, Sanusi menegaskan belum masanya komen mengenai perkara itu diberikannya.

Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah disebut antara calon bakal menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berikutan perubahan pada politik negara ketika ini.

Berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri Kedah yang dibarisi kepimpinan gabungan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BersatuU) dijangka berubah berikutan langkah Mukhriz tidak menyokong pelantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ketika ini menunjukkan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (7), Bersatu (6), Parti Amanah Negara (4), UMNO (2) dan DAP (2).

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 8:25 PM