TIAN Chua. FOTO Arkib NSTP
TIAN Chua. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI yang bertindak menampar Naib Presiden PKR Tian Chua direman selama empat hari bagi membantu siasatan insiden rusuhan di hadapan ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada Chua bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian itu.

“Lelaki terbabit dalam rusuhan itu sudah direman empat hari hingga 5 Mac ini.

“Kita juga mengesahkan Chua sudah beri keterangan malam tadi. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Semalam, Chua dilaporkan ditampar, dibaling botol air dan kon selepas keluar dari ibu pejabat PKR pada 2.15 petang.

Beliau yang diiringi anggota polis dimaki hamun beberapa penyokong parti itu dengan melabelkan Naib Presiden PKR berkenaan sebagai pengkhianat.

Chua diserang penyokong parti itu yang tidak berpuas hati selepas mendakwa bekas Ahli Parlimen Batu itu sebagai pengkhianat sehingga menyebabkan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan berakhir.

Beliau diherdik dengan kata kesat selain ditampar sebaik selesai memberi keterangan kepada kepimpinan PKR selepas dikatakan antara pemimpin yang terbabit dengan konspirasi dilakukan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 3:26 PM