Laporan Portal Harian Metro
Laporan Portal Harian Metro
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


AHLI PKR yang menampar Naib Presiden PKR Tian Chua selepas selesai mesyuarat di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 32 tahun itu adalah ahli Cabang PKR Gombak ditahan sejurus kejadian.

"Setakat ini polis masih belum menerima laporan dari Tian Chua berhubung kejadian.

"Bagaimanapun, anggota polis di lokasi kejadian menahan suspek untuk siasatan lanjut dan kini ditahan di Balai Polis Petaling Jaya," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, polis sudah menempatkan anggota di Ibu Pejabat PKR untuk memastikan tiada sebarang kekecohan yang berlaku.

Terdahulu, Tian Chua diserang penyokong parti itu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa bekas Ahli Parlimen Batu itu sebagai pengkhianat sehingga menyebabkan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan kembali kabur.

Beliau turut diherdik dengan kata kesat selain ditampar sebaik selesai memberi keterangan kepada kepimpinan PKR dipercayai kerana dikaitkan dengan konspirasi dilakukan bekas Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 4:00 PM