GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Serdang: Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam dalam pergaduhan di sebuah pangsapuri di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 10.15 malam.

"Susulan itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian sebelum menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

"Siasatan mendapati mangsa ditikam dari belakang dan terus rebah di tempat kejadian,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, proses bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menyebabkan kematian mangsa.

"Polis sudah mengenal pasti beberapa suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan tangkapan juga sudah dilakukan.

"Usaha untuk mengesan dan menahan suspek yang masih bebas dalam tindakan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan, mangsa terbabit dalam pergaduhan membabitkan beberapa individu sebelum ditikam berkali-kali menggunakan pisau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 9:24 AM