PAKAIAN dirampas daripada kanak-kanak dan remaja lelaki selepas disyaki terbabit dalam 19 kes pecah rumah di Batu Kawa, Padawan. FOTO GARRET DAWUM
PAKAIAN dirampas daripada kanak-kanak dan remaja lelaki selepas disyaki terbabit dalam 19 kes pecah rumah di Batu Kawa, Padawan. FOTO GARRET DAWUM
Garret Dawum


SEORANG kanak-kanak berusia 12 tahun dan remaja lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam 19 kes pecah rumah di Batu Kawa, Pedawan, semalam.

Kanak-kanak bersama remaja berusia 14 tahun ditangkap sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di dua lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kanak-kanak terbabit ditahan di Bandar Baru MJC Batu Kawa kira-kira jam 12 tengah hari.

“Suspek berusia 14 tahun pula diberkas di kaki lima rumah kedai kawasan sama jam 3.25 petang.

“Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua remaja terbabit mengaku pecah rumah dan menjual beberapa barang kemas dicuri di sebuah kedai emas di Batu Kawa.

“Kedua-dua suspek juga tidak lagi bersekolah dan mengaku terbabit dalam 19 kes pecah rumah di sekitar Batu Kawa.

“Remaja ditangkap juga mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 6:13 PM