Melvin Joni


PELAJAR perempuan Tingkatan Lima di Kuching cedera di belakang badan akibat terkena pisau lipat yang digunakan seorang lelaki untuk mengugutnya supaya menarik balik laporan polis berhubung kes rogol, membabitkan penjenayah itu, sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan ketika mengesahkan kejadian itu berkata, berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa, kejadian 6.10 pagi semalam di parkir kereta itu ketika wanita berusia 33 tahun itu hendak menghantar anaknya ke sekolah.

Beliau berkata, suspek yang ipar mangsa berusia 39 tahun dan tidak bekerja itu kemudian mengacu pisau sambil mengugut mahu mencederakan anaknya sekiranya mereka tidak mengikut suspek ke rumahnya di Taman Desa Wira, Batu Kawa.

Aidil berkata, apabila sampai di rumah, suspek membawa mangsa keluar dari dari kereta sebelum mereka bergelut kerana mangsa cuba melarikan diri.

Katanya, suspek kemudian ditangkap dengan bantuan orang ramai di kawasan perumahan terbabit dan diserahkan kepada polis.

“Tujuan suspek adalah mahu berbincang dengan mangsa dan ibunya supaya menarik balik kes rogol yang dibuat sebelum ini tetapi mereka enggan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Aidil, suspek dikenakan empat pertuduhan merogol mangsa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, selepas mangsa dan ibunya membuat laporan polis di Balai Polis Betong pada tahun 2017.

Kes berkenaan masih dalam perbicaraan dan suspek juga sudah membayar ikat jamin.

Katanya lagi, suspek kini sudah direman empat hari sehingga 23 Jun dan pertuduhan akan dibuat di mahkamah Kuching, minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 2:51 PM