KESEMUA suspek dan dadah yang dirampas. FOTO Melvin Joni
KESEMUA suspek dan dadah yang dirampas. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Padawan: Seorang anggota polis bersama empat penganggur ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, semua suspek iaitu empat lelaki dan seorang wanita ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Batu Kawa Residence, Jalan Batu Kawa sekitar jam 3 petang.

"Pemeriksaan di dalam rumah itu menjumpai syabu seberat 17.30 gram yang diletakkan di atas almari di ruang tamu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, anggota polis terbabit bersama seorang lagi suspek didapati negatif dadah manakala tiga lagi rakannya termasuk suspek wanita positif dadah jenis syabu.

Aidil berkata, siasatan awal mendapati salah seorang suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Abie dengan harga RM2,000.

"Dadah itu diambil secara buang barang di kawasan Bandar Baru Batu Kawah (MJC)," katanya.

Katanya, semua mereka yang berusia 27 hingga 43 tahun itu dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 4:17 PM