MUHAMMAd Suffi  (tengah) menunjukkan gamat yang dirampas daripada sebuah bot nelayan Vietnam.
MUHAMMAd Suffi (tengah) menunjukkan gamat yang dirampas daripada sebuah bot nelayan Vietnam.
Zaid Salim


SEORANG nelayan Vietnam sanggup menebuk lubang untuk menenggelamkan bot dinaiki selepas ditahan di kedudukan 57 batu nautika dari sini, kelmarin.

Tindakan itu dipercayai dilakukan untuk melupuskan bukti.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot tanpa nombor pendaftaran itu ditahan ketika mencuri gamat di perairan negeri menggunakan peralatan khas jam 9.59 pagi.

Susulan itu, katanya enam nelayan termasuk tekong berusia antara 25 hingga 48 tahun ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Sebelum itu, kita mengambil masa hampir setengah jam mengejar bot yang cuba melarikan diri ke sempadan perairan, namun berjaya ditahan.

“Tidak cukup dengan itu seorang daripada nelayan cuba menenggelamkan bot dengan menebuk lantai ketika dalam perjalanan ke jeti APMM di Pulau Kambing.

“Bagaimanapun, tindakan itu disedari anggota yang berada di atas bot berkenaan, dan perbuatan itu berjaya dihalang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya turut merampas alat tangkapan, bot dan 30 kilogram gamat yang dianggarkan bernilai RM300,000.

Katanya, berdasarkan hasil tangkapan gamat yang dianggarkan bernilai RM500 dan bekalan makanan yang masih banyak, pihaknya percaya bot terbabit berada di perairan negeri antara satu atau dua hari sebelum ditahan.

“Gamat mendapat permintaan tinggi di Vietnam menyebabkan ada nelayan negara terbabit menceroboh perairan negeri ini semata-mata mencuri hidupan laut itu.

“Gamat yang diproses untuk tujuan perubatan dan kosmetik dijual antara RM10 hingga RM18 sekilogram di negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua nelayan terbabit ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

“Denda yang diperuntukkan maksimum RM6 juta bagi pemilik bot dan tekong manakala awak-awak tidak melebihi RM600,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 6:01 AM