Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEMBILAN nelayan warga asing termasuk dua tekong yang giat menangkap gamat di perairan negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di 42 batu nautika dekat Kuala Tok Bali, semalam.

Nelayan asing berusia 27 hingga 53 tahun ditahan antara jam 8 hingga 8.30 pagi menerusi ‘Op Damai’.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merampas lebih 50 kilogram gamat, alat tangkapan dan dua bot bernilai RM600,000.

Katanya, sebelum ditahan dua bot berkenaan cuba melarikan diri tetapi berjaya dikejar oleh anggota operasi yang menggunakan Bot Maritim Malaysia selama setengah jam.

“Kita berjaya menahan mereka dan hasil pemeriksaan menemui gamat dalam kedua-dua bot dan sembilan nelayan warga Vietnam ditahan.

“Mereka baru dua hari memasuki perairan negara dan menangkap gamat untuk dibawa pulang ke negara mereka bagi tujuan perubatan serta kosmetik.

“Gamat ini dijual di antara RM10 hingga RM18 sekilogram dan mendapat permintaan tinggi di negara mereka,” katanya dalam sidang media di APMM Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini.

Beliau berkata, ketika membawa pulang dua bot berkenaan ke jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan, pihaknya turut berdepan angin kencang berkelajuan antara 40 hingga 50 km/j dan ombak setinggi 3.5 meter.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta bagi pemilik bot dan tekong serta tidak melebihi RM100,000 bagi awak-awak atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

“Kesemua nelayan warga asing itu ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ismail berkata, sejak 2007 hingga tahun ini, pihaknya berjaya menahan sebanyak 258 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 1:17 PM
 ISMAIL (kiri) bersama anggota menunjukkan sebahagian gamat yang dirampas. FOTO Syamsi Suhaimi
ISMAIL (kiri) bersama anggota menunjukkan sebahagian gamat yang dirampas. FOTO Syamsi Suhaimi