MUHAMMAD Suffi  (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim (kiri) menunjukkan  hasil laut  yang dirampas daripada bot Vietnam.
MUHAMMAD Suffi (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim (kiri) menunjukkan hasil laut yang dirampas daripada bot Vietnam.
Zaid Salim


KUALA TERENGGANU: Tindakan nelayan Vietnam cuba melepasi perairan antarabangsa bagi meloloskan diri memaksa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melepaskan tembakan amaran dalam usaha menghentikan bot berkenaan.

Selain melarikan diri dan mengejar hampir dua jam, ada antara nelayan terbabit dikesan menggunakan nombor pendaftaran tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Itu antara cabaran dihadapi APMM dalam operasi selama dua hari bermula Khamis lalu sebelum menahan enam bot secara berasingan di enam lokasi berhampiran sempadan Malaysia-Vietnam antara jam 7.30 pagi Khamis dan jam 1.55 tengah hari Jumaat membabitkan rampasan bernilai RM6 juta termasuk hasil tangkapan, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, nelayan Vietnam itu juga dikesan menjadikan kawasan pelantar minyak berhampiran sempadan Malaysia-Vietnam sebagai lokasi selamat merompak hasil laut negara bagi memudahkan mereka melepaskan diri daripada ditahan.

Katanya, empat daripada enam bot nelayan itu ditahan di kawasan cari gali minyak berhampiran sempadan perairan Malaysia-Vietnam manakala dua lagi di kawasan berasingan.

“Bot pertama ditahan pada jarak 145 batu nautika timur Kuala Terengganu jam 7.30 pagi membabitkan 19 nelayan termasuk tekong manakala bot kedua membabitkan sembilan nelayan di tahan pada jarak 142 batu nautika timur Kuala Terengganu pada jam 10.30 pagi.

“Bot ketiga dan keempat masing-masing ditahan jam 1 tengah hari dan jam 4 petang Khamis lalu pada jarak 153 dan 141 batu nautika timur Kuala Terengganu.

ANTARA bot nelayan Vietnam yang ditahan di Jeti APMM Kuala Terengganu.
ANTARA bot nelayan Vietnam yang ditahan di Jeti APMM Kuala Terengganu.

“Dua lagi bot yang disyaki bot klon apabila menggunakan nombor pendaftaran tempatan ditahan kelmarin (Jumaat) ketika menangkap ikan pada kedudukan 51 dan 53 batu nautika timur Kuala Terengganu jam 1.20 tengah hari dan jam 1.55 tengah hari,” katanya di Jeti APMM di Pulau Kambing di sini, semalam.

Muhammad Suffi berkata, 63 nelayan terdiri daripada tekong dan awak-awak berusia antara 15 dan 59 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Semua bot dan hasil rampasan bersama nelayan disiasat mengikut Seksyen 15 (2) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia, Seksyen 14 (3) (b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan huruf, nombor atau lain-lain cara pengenalan vessel penangkapan ikan lain.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen sah dikeluarkan Jabatan Perikanan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya.

Berdasarkan statistik operasi APMM Terenganu dan Zon Maritim Kemaman, Muhammad Suffi berkata, 533 buah bot diperiksa dan 32 daripadanya membabitkan 240 nelayan Vietnam ditahan dengan nilai rampasan dianggarkan RM32 juta sepanjang tahun ini.

“Selain itu, kes mahkamah yang selesai memperoleh hasil denda RM2,349,900 dan juga kos penahanan bot RM350,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 6:30 AM