Rosnah Mohamed (dua kanan) menceritakan hari kejadian kepada Mohd Zaid (dua kiri). FOTO ROSLI ILHAM
Rosnah Mohamed (dua kanan) menceritakan hari kejadian kepada Mohd Zaid (dua kiri). FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


“PUTERI Ayesha Shafiyyah manja dengan arwah, beberapa hari ini dia asyik duduk di muka pintu rumah mungkin menunggu kepulangan ayahnya.

“Sejak kejadian itu juga, dia asyik merengek dan menangis mungkin rindu kepada arwah,” kata Rosnah Mohamed, 34, isteri kepada Mohd Zukanain Abd Aziz, 39, yang maut ditetak rakan baiknya dalam kejadian di ladang sawit Kampung Beril, di Paka, Terengganu, Rabu lalu.

Menurutnya, Puteri Ayesha yang berusia setahun tujuh bulan itu adalah anak keempat daripada lima beradik.

“Kalau mahu tidur mesti ayahnya yang dodoikan, kalau dengan saya dia tak mahu. Keadaan itu menyebabkan dia asyik menunggu ayahnya di muka pintu, “katanya menceritakan kejadian itu kepada Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU negeri Terengganu, Mohd Zaid Sulaiman yang melawat keluarga mangsa di Kampung Santong, Paka, hari ini.

Rosnah berkata sejak kejadian yang berlaku di depan matanya itu, menyebabkan dia trauma dan tidurnya sering terganggu.

“Sukar untuk saya lupakan, kalau teringatkan tragedi pahit itu air mata saya pasti gugur.

“Mana tidak trauma, saya sendiri menerima 30 jahitan di kedua belah tapak tangan akibat menahan tetakan itu,” katanya.

Menurutnya, sejak kehilangan suaminya dia terpaksa menguruskan lima anaknya dan melakukan kerja rumah hingga menyebabkan sebahagian jahitan di tapak tangannya terbuka semula.

“Kini tangan saya asyik berdenyut-denyut dan bertambah sakit. Saya akan ke Klinik Kesihatan Paka untuk berjumpa doktor.

“Saya berharap tangan ini segera sembuh kerana selepas ini perlu bekerja bagi menyara anak-anak yang masih kecil. Saya orang susah dan tidak berpendidikan. Saya tidak tahu mahu bekerja sebagai apa, tetapi akan buat apa orang suruh asalkan rezeki itu halal buat kami, “katanya.

Sementara itu Zaid berkata, dia akan membantu untuk mendapatkan sebuah rumah yang sempurna dan selesa bagi membantu Rosmah dan anak-anaknya.

Menurutnya, kini Rosmah dan anak-anaknya menumpang tinggal di rumah keluarga mentuanya yang turut didiami tiga lagi ahli keluarga iparnya.

“Saya akan berbincang dan meminta bantuan daripada rakan-rakan saya bagaimana untuk membantu Rosmah yang kini hilang punca pendapatan akibat kematian suaminya.

“Saya berharap semua pihak dapat sama-sama membantu meringankan beban mangsa sekeluarga dan saya berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM Daerah Dungun yang sudah mengambil tindakan,” katanya.

Berita berkaitan

Pandu sambil tekup luka tetakan

[UPDATE] Suspek tetak suami isteri ditahan

Suami maut ditetak, isteri cedera

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 3:43 PM