BOMBA mengangkat mayat di Sungai Mengkibol. FOTO ihsan bomba Johor
BOMBA mengangkat mayat di Sungai Mengkibol. FOTO ihsan bomba Johor
Nurul Amanina Suhaini


LELAKI berusia 30-an maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menangkap ikan di Sungai Mengkibol, Taman Murni, Kampung Palembang Baru, Kluang, petang tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Affendi Mustafa berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.18 petang, pihaknya menggerakkan enam anggota dan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Pihak polis menghubungi BBP Kluang untuk bantuan mengambil mangsa yang terapung di sungai cetek.

“Berhampiran dengan mangsa terdapat sebuah genset dan kabel wayar, selain bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menaikkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, makluman awal yang diterima, mangsa dipercayai cuba menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik.

Katanya, tiada pengenalan diri ditemui pada badan mangsa dan operasi ditamatkan pada 4.40 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 8:41 PM