KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis
Adnan Ibrahim


PEKERJA pembinaan warga Nepal maut selepas dilanggar lori yang sedang mengundur di tapak pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) di Jalan Mengkibol, Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian kira-kira 5 petang itu, mengakibatkan mangsa, Surendra Limbu, 37, parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori ‘tipper dummer’ yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun sedang mengundurkan kenderaan terbabit.

“Dia bagaimanapun tidak perasan kehadiran mangsa di belakang lorinya dan akibat perlanggaran itu mangsa dilenyek lori terbabit,” katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami parah di bahagian kepala serta beberapa lagi anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk dibedah siasat, selain waris mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan untuk membantu siasatan.

“Kenderaan itu akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Kluang untuk pemeriksaan.

“Kes disiasat di bawah Sekysen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pekerja-pekerja di kawasan pembinaan supaya mematuhi setiap arahan keselamatan yang dikeluarkan bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 10:43 AM