ADLY Zahari bersama Noor Effandi dan Jamsari serta guru dan pelajar selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolah di SMK Padang Temu. FOTO AMIR MAMAT
ADLY Zahari bersama Noor Effandi dan Jamsari serta guru dan pelajar selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolah di SMK Padang Temu. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat

KERAJAAN negeri menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sudah bersedia berdepan dengan segala kemungkinan sepanjang catuan air berjadual dibuat bermula esok.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, persediaan daripada pelbagai aspek itu termasuk menyediakan kemudahan tangki air di Pusat Agihan Setempat (OSC) bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan.

Beliau berkata, catuan air berjadual yang dilaksanakan di negeri ini adalah untuk memastikan bekalan air di empangan tidak kering, sebaliknya sentiasa cukup untuk pengguna, terutama ketika cuaca kering kerana tiada hujan yang dijangka berlarutan sehingga April ini.

“Ini juga untuk memastikan supaya kita tidak terputus bekalan dan secara tidak langsung air dapat dikumpulkan lebih banyak daripada keperluan harian.

“Ketika ini, keadaan penggunaan air adalah lebih banyak daripada kadar simpanan air mentah.

“Empangan kita kini mempunyai 36 peratus air dan secara puratanya pada cuti musim perayaan lalu, kadar itu menurun kepada hampir satu peratus penggunaannya setiap hari berbanding 0.5 peratus pada hari biasa,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu di sini, hari ini.

Sejumlah RM14,419,600 diperuntukkan untuk menyalurkan bantuan awal persekolahan di Melaka membabitkan 144,196 pelajar di 315 sekolah.

Turut hadir EXCO Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri Datuk Noor Effandi Ahmad dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Jamsari Mariman.

Semalam, SAMB pada kenyataan memaklumkan, pihaknya menyediakan 132 OSC di kawasan yang dijangkakan mengalami catuan bekalan air berjadual.

Daripada jumlah itu, 97 OSC ditempatkan di Melaka Tengah diikuti 19 di Alor Gajah dan 16 di Jasin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 5:53 PM