SEEKOR tapir betina ditemui mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan berat. FOTO BERNAMA
SEEKOR tapir betina ditemui mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan berat. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Johor Bahru: Bangkai seekor tapir Malaya betina ditemukan di Batu 20, Jalan Kota Tinggi-Mersing, awal pagi ini dipercayai akibat dilanggar kenderaan berat.

Pengarah Jabatan Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, haiwan berusia antara lima hingga enam tahun dan seberat 200 kilogram itu ditemukan orang awam di tepi jalan berkenaan sebelum dimaklumkan kepada pihak Perhilitan, pagi tadi.

“Terdapat kecederaan dan kesan luka akibat seret atau dilanggar oleh kenderaan di bahagian badan. Namun kenderaan yang disyaki melanggar tapir tiada di lokasi kejadian ketika siasatan dijalankan.

“Pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian juga mendapati tiada kesan terbabas kenderaan, justeru haiwan itu dipercayai dilanggar kenderaan berat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Salman berkata, berdasarkan kesan laluan di kawasan semak-samun berhampiran, pihaknya percaya tapir berkenaan dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Sedeli dan cuba untuk melintasi jalan raya itu untuk ke Ladang RISDA Ulu Sedeli yang terletak berhampiran sebelum dilanggar.

Katanya, Perhilitan mengambil dan merekodkan data morfologi asas dan melupuskan bangkai haiwan itu dengan menanamnya berhampiran lokasi kejadian.

Tapir Malaya (Tapirus indicus) adalah spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 176) dan dikategorikan sebagai terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 9:59 PM