KAMERA yang dipasang Jabatan PERHILITAN di Taman Botani Negara, Shah Alam.
KAMERA yang dipasang Jabatan PERHILITAN di Taman Botani Negara, Shah Alam.
SEEKOR tapir yang berusia 10 tahun yang dipelihara di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Ulu Bernam.
SEEKOR tapir yang berusia 10 tahun yang dipelihara di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Ulu Bernam.
Iskandar Shah Mohamed dan Siti Nor Amirah Abu Bakar


Shah Alam: Jika menyebut soal tapir, umum sebelum ini mungkin hanya mendengar berita mengenai mamalia hitam putih itu yang kerap mati akibat dilanggar kenderaan.

Namun, tidak ramai menyedari haiwan dikenali sebagai Tapir Malaya itu hakikatnya tergolong daripada kumpulan spesies yang kian pupus berikutan jumlahnya hanya antara 1,200 hingga 1,500 ekor
di seluruh Semenanjung ketika ini.

Spesies paling besar dalam keluarga tapir itu memiliki purata berat badan antara 300 hingga mencecah 540 kilogram (kg) dan satu-satunya versi yang memiliki warna berbelang apabila dewasa.

Kepupusan mamalia yang turut dikenali sebagai tenuk itu berpunca akibat pelbagai faktor dalaman dan luaran antaranya makanan tidak mencukupi, gangguan dalam hutan dan pembangunan.

Berdasarkan rekod, lebih 30 tapir dilanggar kenderaan dalam tempoh lima tahun sehingga 2015, sekali gus menunjukkan bahawa habitat haiwan itu semakin terancam dan diganggu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor Abdul Rahim Othman berkata, kehilangan habitat menjadi penyumbang utama penurunan populasi haiwan berasal daripada keluarga ‘Tapiridae’ itu.

“Projek pembangunan secara besar-besaran di kawasan hutan sama ada bagi tujuan pertanian, pembangunan atau pemburuan menyebabkan ‘pengusiran’ tapir dari habitat asalnya.

“Ini berikutan tapir akan berasa terganggu apabila mula diancam dan menjadi punca haiwan itu keluar dari hutan mencari habitat baru selain turut menghadapi ancaman masyarakat terutama di kawasan pinggir bandar,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurut beliau, keluasan hutan yang semakin sempit kerana pembangunan turut menyebabkan kepupusan mamalia unik itu.

“Seekor tapir Malaya memerlukan kawasan luas kerana ia merupakan haiwan yang gemar bersendirian dan mempertahankan kawasan daratan sebagai wilayah mereka.

“Justeru, apabila pembangunan mula mengambil tempat
di kebanyakan kawasan hutan, ia membawa kepada ‘penghijrahan’ haiwan ini ke kawasan berdekatan.

“Selain diancam hidupan liar lain, tapir turut mati akibat dilanggar kenderaan dan tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi,” katanya.

Kata Abdul Rahim, prihatin dengan kepupusan mamalia itu, PERHILITAN merangka beberapa program untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat.

“Selain itu, penubuhan Pusat Konservasi Tapir Rizab Hidupan Liar Sungai Dusun di Ulu Bernam, Selangor pada 2004 menjadi bukti kesungguhan kita dalam memastikan populasi tapir stabil dan tidak diancam kepupusan.

“Kita turut memasang perangkap untuk mengesan mamalia itu di beberapa kawasan di negeri ini,” katanya yang mengharapkan kerjasama semua pihak untuk memastikan populasi tapir terus kekal.

Menerusi usaha seumpama itu, menurutnya, ia dapat memupuk semangat dan menambah pengetahuan orang ramai mengenai tapir selain menjadikan mereka lebih bijak dalam mengendalikan haiwan itu sekiranya terserempak
di mana-mana kawasan.

Tapir tidak tergolong sebagai haiwan yang diburu secara haram namun sudah dikelaskan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mamalia itu berperanan penting dalam ekosistem sebagai ejen penyebaran biji benih di dalam hutan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 9:08 AM