SULTAN Ibrahim menggoreng buah sukun di gerai Haji Hamdan di Kampung Jawa Segamat. FOTO Ahmad Ismail.
SULTAN Ibrahim menggoreng buah sukun di gerai Haji Hamdan di Kampung Jawa Segamat. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini, mencemar duli beramah mesra bersama penduduk di Kampung Jawa, Segamat.

Lebih menarik, Sultan Ibrahim turut berkesempatan bersama rakyat jelata kira-kira 40 minit bermula 11.15 pagi termasuk menggoreng buah sukun di sebuah gerai di kampung berkenaan.

Kehadiran mengejut baginda turut ditemani Pegawai Daerah Segamat, Nasri Mad Ali dan Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat.

Peniaga gerai terbabit, Noor Aishah Othman, 63, berkata, dia bangga dan teruja apabila Sultan Johor berkenan mencemar duli untuk melawat dan menggoreng sukun di gerainya.

“Sultan Ibrahim amat 'sporting' sambil menggoreng buah sukun dan berbual dengan rakyat jelata. Baginda tidak kelihatan kekok memasak.

“Baginda turut bertitah sukun goreng lebih sedap jika dicicah sambal kicap,” katanya berniaga di gerai itu bersama suami, Hamdan Kadar, 62, sejak lebih 20 tahun lalu.

Noor Aishah berkata, dia bertuah kerana Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli dan singgah ke gerai miliknya dan ia menjadi pembakar semangat untuk terus berniaga di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 4:18 PM