SULTAN Ibrahim memandu kereta api kali ke-9 di Stesen KTMB Johor Bahru Sentral, Johor Bahru.
SULTAN Ibrahim memandu kereta api kali ke-9 di Stesen KTMB Johor Bahru Sentral, Johor Bahru.
Oleh Mary Victoria Dass dan Ahmad Ismail


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memandu kereta api sejauh 180 kilometer dari Stesen JB Sentral ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Segamat semalam, dalam usaha baginda meninjau keadaan kebersihan di sepanjang laluan serta kemudahan pengangkutan itu demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Baginda memulakan perjalanan memandu kereta api sewaan khas itu pada jam 9.45 pagi diiringi dua pemandu lokomotif KTMB, Mohd Kamal Asmawi, 40, dan Supawi Ismail, 50, yang membawa tren enam gerabak itu.

Pemanduan selama hampir empat jam itu adalah yang kesembilan bagi Sultan Ibrahim membabitkan pelbagai tren milik KTMB selepas kali terakhir baginda berkenan berbuat demikian pada 2013.

Terdahulu, sebelum Sultan Iskandar memulakan perjalanan, Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin hadir membacakan doa yang turut dihadiri Pengurus KTMB Wilayah Selatan, Omar Nazari Othman.

Sultan Ibrahim menamatkan pemanduan di Stesen KTMB Segamat sebelum tren berkenaan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Baginda menjalani latihan intensif bagi mendapatkan lesen memandu lokomotif Kelas 26 yang diperoleh pada 28 Jun 2011 dan pada 30 Jun 2011, baginda turut mengendalikan kereta api terakhir yang berlepas dari platform Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, Singapura yang melalui Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands ke Johor.

Sementara itu, di Segamat, ratusan rakyat jelata menyaksikan kecekapan Sultan Ibrahim memberhentikan lokomotif secara tepat di Stesen KTMB di sini pada jam 1.35 petang.

Setibanya di Stesen Segamat, baginda mencemar duli turun dari lokomotif dipandunya kira-kira 10 minit diiringi bacaan doa selamat sebelum memasuki koc penumpang kenamaan.

Pegawai Operasi KTMB Gemas Basri Abu Bakar berkata, kecekapan Sultan Ibrahim mengendalikan pemanduan lokomotif sehingga diberikan tahap lesen kelas tertinggi sejak enam tahun lalu sememangnya amat tepat.

“Orang awam mungkin tidak mengetahui, tidak mudah memberhentikan lokomotif secara tepat di platform ditetapkan di setiap stesen disebabkan berat dan panjang gerabak.

“Namun baginda terbukti mampu melakukannya selain menepati masa ditetapkan,” katanya.

Basri berkata, selain itu, kelajuan lokomotif sepanjang perjalanan juga harus bersesuaian dengan rupa bentuk muka bumi di atas landasan seperti berbukit, tanah gambut serta kawasan berhampiran penempatan yang memerlukan pemandu dalam kesiapsiagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 6:56 AM