ROKOK yang dirampas. FOTO Ihsan JKDM
ROKOK yang dirampas. FOTO Ihsan JKDM
Melvin Joni


SEBANYAK 1.17 juta batang rokok seludup dirampas selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyerbu sebuah rumah di Siburan, dekat Kuching, Jumaat lalu.

Rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM261,560 serta anggaran amaun duti JKDM, RM799,887.

Pengarah JKDM Sarawak Datuk Sharifah Halimah Taha berkata, semasa serbuan, rumah yang terletak di sebuah taman perumahan itu dibuka secara paksa kerana pemiliknya gagal dikesan.

“Rokok tidak lulus JKDM ini disimpan di dalam rumah di kawasan perumahan bagi mengelak daripada mudah dikesan serta mengelirukan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sharifah berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok,

minuman keras, mercun dan dadah.

“Mereka boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat Kastam yang berhampiran di seluruh negeri.

“JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 9:43 AM