Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok, minuman keras dan mercun pelbagai jenama dengan nilai cukai dianggarkan RM1.34 juta ketika sekatan jalan di Jalan Stapang-Sibu di Sibu pada Selasa lalu.

Selain itu, lima individu ditahan bersama barangan terbabit.

Pengarah JKDM Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, sebanyak 1,486,360 batang rokok pelbagai jenama, 20,589 liter minuman keras dan 71.40 kilogram pelbagai jenis mercun.

Menurutnya, nilai keseluruhan barangan yang dirampas itu berjumlah RM368,514.

Katanya, dua lori yang digunakan untuk mengangkut barangan berkenaan turut disita.

“Mereka itu didapati mencampurkan barangan rampasan berkenaan dengan barang keperluan harian dalam lori berkenaan bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

“Bagaimanapun, usaha mereka itu tidak berjaya apabila kegiatannya tetap dapat dikesan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Beliau turut meminta orang awam untuk menyalurkan maklumat tentang sebarang aktiviti penyeludupan barangan dengan menghubungi talian bebas tol JKDM 1-800-88-8855, laman sesawang http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat JKDM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 7:35 PM