Rohaya menunjukkan gambar Allahyarham Zamri bersama isterinya. FOTO Zaid Salim
Rohaya menunjukkan gambar Allahyarham Zamri bersama isterinya. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


ALLAHYARHAM Zamri Adenan, pekerja kilang simen yang terjatuh dalam tangki diesel akibat satu letupan ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Rawang, Selangor, semalam dikatakan baru bekerja di kilang berkenaan.

Ibu saudaranya, Rohaya Yahya, 48, berkata, anak saudaranya itu bekerja tidak tetap di banyak syarikat.

"Saya diberitahu dia baru kerja di situ beberapa bulan lalu kerana kilang simen berkenaan terletak tidak jauh dari rumahnya yang baru dibeli di Rawang," katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Surau Haji Daud, di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, Zamri mempunyai empat anak termasuk kembar berusia antara empat hingga 10 tahun dan jenazah anak saudaranya itu kemungkinan besar dikebumikan di Rawang kerana dekat dengan keluarga isterinya, Nadia Musa.

Rohaya berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anak saudaranya itu ketika Aidilfitri lalu apabila pulang beraya di kampung.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi isteri Zamri kira-kira 9 malam semalam sebelum memaklumkan kepada abang sulungnya yang juga bapa Zamri, Adenan Yahya, 64, yang tinggal di kampung sama.

"Sebaik menerima berita itu, tiga adik beradik Zamri iaitu Hakima Rohaizan, 38, Fatmawati, 35, dan Nor Sabrina, 28, bergegas ke Rawang pada 4.30 pagi tadi.

"Abang Long (Adenan) juga ke sana dengan menaiki kapal terbang pada 3.45 petang tadi," katanya.

Menurut Rohaya, seluruh keluarga sangat terkejut dengan kejadian menimpa Zamri yang disifatkan seorang anak saudara yang baik dan mesra dengan saudara.

Berita berkaitan

Semua mayat ditemui

Mayat kedua ditemui

Mayat pertama ditemui

Tragedi tangki diesel kilang simen meletup

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 9:13 PM