PASANGAN yang dicekup kerana dipercayai berkhalwat di sebuah rumah di Taman Sena, Pokok Sena. FOTO ihsan JAIK
PASANGAN yang dicekup kerana dipercayai berkhalwat di sebuah rumah di Taman Sena, Pokok Sena. FOTO ihsan JAIK
Zuliaty Zulkiffli


DUA wanita dicekup berkhalwat dengan dua lelaki dalam sebuah rumah di Taman Sena, Pokok Sena, Alor Setar, malam tadi.

Dalam kejadian 12.15 tengah malam, mereka yang dicekup berusia 23 hingga 30-an dalam keadaan lampu tertutup dan pintu berkunci.

Ketika ditahan, dua wanita terbabit memberi alasan yang kedua-dua lelaki itu hanya menghantar makanan pada mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, selepas mengetuk dan memberi salam, seorang wanita membuka pintu kira-kira 15 minit kemudian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui pasangan terbabit yang dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka gagal menunjukkan sebarang bukti atau dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Berikutan itu mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat kerana berkurung sehingga mendatangkan syak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati rumah itu disewa dua wanita terbabit masing-masing dari Jeniang dan pasangan lelaki itu dilaporkan sering ke rumah berkenaan.

Menurutnya, lebih mencurigakan apabila dua motosikal turut ditemui di dalam rumah itu dipercayai motosikal dua lelaki terbabit.

“Tiga daripada mereka bekerja di kedai mesin judi manakala seorang lagi lelaki bekerja sebagai pesawah.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Kota Setar untuk dibuat laporan tangkapan dan dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan,” katanya

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 7:04 PM