ANGGOTA penguat kuasa ketika melakukan pemeriksaan berkenaan. FOTO Ihsan JAIK
ANGGOTA penguat kuasa ketika melakukan pemeriksaan berkenaan. FOTO Ihsan JAIK
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Ibu tunggal dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki memberi alasan tinggal bersama kerana mereka dalam proses untuk berkahwin.

Mereka dicekup berkhalwat dalam pemeriksaan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), di rumah wanita itu, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jaik, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya menahan pasangan itu pada 1.15 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lelaki bersama wanita berstatus janda bersekedudukan di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

"Lelaki terbabit berusia 35 tahun, manakala si wanita berusia 31 tahun, malah ketika itu, terdapat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dipercayai anak wanita itu turut berada dalam rumah berkenaan.

"Wanita itu memberitahu yang lelaki itu tinggal bersamanya, sejak sebulan yang lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, pasangan itu tinggal berdua dalam bilik berkenaan dan gagal mengemukakan dokumen perkahwinan sah ketika pemeriksaan.

Beliau berkata, pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 8:14 AM