Sudirman Mohd Tahir


Sungai Petani: Seiring matlamat pendidikan negara ke arah pembelajaran digital, Harian Metro dengan kerjasama DRB-HICOM Berhad memberi sumbangan alat bantu mengajar berupa komputer riba dan projektor LCD (paparan kristal cecair) kepada 15 sekolah di Daerah Kuala Muda/Yan, di sini, kelmarin.

Inisiatif menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) itu bagi melancarkan kaedah mengajar secara pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC).

Ketua Bahagian Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM Berhad Cairil Irwan Amir, berkata kemajuan dalam bidang pendidikan bukan hanya terletak di bahu Kementerian Pendidikan semata-mata malah usaha memperkasa prestasi akademik adalah tanggungjawab bersama supaya misi sekolah ke arah melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang tercapai.

"Sumbangan sebegini ini amat besar dan memberi banyak manfaat dalam sistem pendidikan.

"Cara guru mengajar pun dah berubah, contohnya melalui komputer, tablet dan lebih banyak yang dapat disampaikan kepada pelajar.

"Jadi, saya berasakan inisiatif sebegini amat penting. Kita berharap badan korporat lain dapat membuat perkara sama terutama membantu guru dalam meningkatkan tahap pembelajaran kepada pelajar. Sumbangan memang banyak diperlukan, tapi apabila kita bantu guru, lebih ramai pelajar dapat manfaat daripada bantuan diberikan," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Sumbangan Alat Bantu Mengajar Kepada Sekolah-sekolah di Daerah Kuala Muda/Yan, Kedah yang diadakan di Sekolah Menengah Sains (SMS) Sultan Mohamad Jiwa.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit, Ketua Bahagian Modal Insan Modenas Siti Zalina Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan, Kedah Ishak Zulkifli, Pengetua SMS Sultan Mohamad Jiwa Noraini Mohamad Isa, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malek dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz.

CAIRIL Irwan  dan Husain   (tengah)   pada Majlis Titipan Kasih Harian Metro Bersama DRB-HICOM hulur sumbangan alat bantu mengajar di Sekolah Menengah  Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani. FOTO SYAHARIM ABIDIN
CAIRIL Irwan dan Husain (tengah) pada Majlis Titipan Kasih Harian Metro Bersama DRB-HICOM hulur sumbangan alat bantu mengajar di Sekolah Menengah  Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani. FOTO SYAHARIM ABIDIN

Sementara itu, Husain Jahit berkata, program sebegini sangat dialu-alukan sekali gus membantu tenaga pengajar di sekolah terutama guru dalam memperkasakan pengajaran berkonsepkan teknologi.

"Sistem pendidikan negara hari ini sudah ke arah pendigitalan. Bertepatan dengan masanya kita lengkapkan guru dengan teknologi digital dan juga peralatan adalah bertepatan sekali dengan memberikan komputer riba dan projektor LCD.

"Saya harap pihak lain juga memulakan langkah kerjasama terutama dengan Harian Metro untuk membantu sekolah dalam memulakan teknologi sebagai alat bantu mengajar.

"Kita sedia maklum, kebanyakan sekolah amat memerlukan alat bantu mengajar dari segi teknologi dan sebagainya.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak membantu mereka dalam memudahcarakan mengajar. Diharapkan dengan alat ini nanti, murid dapat manfaat yang sebaik mungkin," katanya.

Husain berkata, Harian Metro amat berbesar hati dengan kepercayaan diberikan oleh pihak DRB-HICOM untuk bekerjasama sekali lagi dalam program TKHM.

"Hubungan kerjasama ini bukanlah baru. Pada 2019, Harian Metro pernah bekerjasama dengan DRB-HICOM dalam program Kembali Ke Sekolah, yang berlangsung di Melaka, bagi menyampaikan sumbangan keperluan peralatan sekolah seperti pakaian seragam sekolah, beg sekolah dan alat tulis.

"Kali ini kita bekerjasama lagi dengan mereka dan alhamdulillah kita bantu dari segi persediaan guru untuk pengajaran menggunakan teknologi. Harapan kami semoga hubungan yang erat ini akan berterusan pada masa akan datang," katanya.

Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan yang menyenaraikan sekolah yang akan menerima sumbangan.

Sekolah yang terbabit bagi menerima sumbangan ini adalah SMS Sultan Mohamad Jiwa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gurun, SMK Yan, SMK Pinang Tunggal, SMK Che Tom dan SMK St Theresa.

Turut tersenarai Sekolah Kebangsaan (SK) Merbok, SK Gurun, SK Pinang Tunggal, SK Padang Lumat, SK Bakar Arang, SK Bkt Selambau dan SJKC Choong Hwa Gurun.

Pada majlis itu turut diadakan Pameran Inovasi daripada lima sekolah yang mana pelajarnya menghasilkan ciptaan inovasi menggunakan bahan terbuang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 7:02 AM