MOHD Khamil (tengah) melihat rekabentuk dalaman Audi A8 sambil diperhatikan Ketua Pegawai Operasi Pengedaran dan Pembuatan Automotif DRB-Hicom, Datuk Radzaif Mohamed (empat dari kiri).
MOHD Khamil (tengah) melihat rekabentuk dalaman Audi A8 sambil diperhatikan Ketua Pegawai Operasi Pengedaran dan Pembuatan Automotif DRB-Hicom, Datuk Radzaif Mohamed (empat dari kiri).

Kuala Lumpur: DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom) optimis untuk mencatatkan jualan kenderaan kira-kira RM45 juta kenderaan yang terbabit dalam festival pameran dan jualan kenderaan anjurannya, DRB-Hicom Autofest tahun ini berbanding RM43 juta yang direkodkan dalam acara sama, tahun lalu.

Peningkatan angka jualan itu dijangka bersandarkan penawaran pelbagai promosi dan potongan harga sehingga RM75,000 bagi model kenderaan tertentu dalam tempoh tiga hari acara itu berlangsung bermula 6 hingga 8 November ini.

Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata, DRB-Hicom Autofest 2015 adalah acara tahunan dianjurkan sejak 2013 yang membabitkan 10 jenama kenderaan dalam segmen perniagaan motor dan automotif serta enam jenama bukan dalam segmen berkenaan seperti Pos Malaysia dan perkhidmatan lain bernaung di bawah kumpulan DRB-Hicom.

Beliau berkata, antara jenama kenderaan yang terbabit dalam acara berkenaan ialah Proton, Honda, Lotus, Spyder Can-Am, Audi, Volkswagen, Jeep, Mitsubishi dan Isuzu yang dijangka dapat menarik 15,000 kehadiran pengunjung.

“Pada masa sama, syarikat juga menawarkan Kad Elite DRB-Hicom yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan 24 jam bantuan kecemasan di tepi jalan, malah diskaun untuk pembaharuan insurans kenderaan serta mata ganjaran bagi setiap transaksi yang boleh ditukarkan dengan produk atau perkhidmatan yang menarik.

“Ada juga bidaan khas ke atas kenderaan terpakai keluaran Proton yang berlangsung pada 7 November jam 11 pagi dan jam 3 petang serta pada 8 November membabitkan lebih daripada 200 kereta Proton pelbagai model antaranya Exora Bold, Suprima S dan Preve’ akan menjadi rebutan,” katanya pada taklimat media DRB-Hicom Autofest 2015, semalam.

Acara itu turut menyediakan aktiviti menyeronokkan untuk keluarga antaranya demonstrasi ‘Wheelie’ oleh Modenas, karaoke, persembahan Caliph Buskers, No Noise Purcussion Show dan penampilan selebriti tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:03 AM