LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Ramli Ibrahim


LELAKI Orang Asli yang parah selepas diserang beruang, di Kampung Sempadik, Pos Belatim, dekat Gua Musang, kelmarin, beransur pulih.

Husin Dollah, 35, yang cedera di kepala dan tangan menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK), petang semalam.

Terdahulu, mangsa menerima rawatan awal di Hospital Gua Musang (HGM) sebaik dibawa keluar dengan penerbangan ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), jam 10.10 pagi semalam.

Rakan mangsa, Asem Along, 32, berkata, keadaan Husin semakin pulih, namun masih tidak boleh bergerak berikutan cedera teruk.

“Namun keadaannya kini stabil dan beransur pulih selepas menerima rawatan susulan di HKK,” katanya ketika dihubungi menemani rakannya itu di HKK, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari Khamis lalu, Husin ke hutan tidak jauh dari rumah bersama rakanya Asem untuk mencari buah-buahan.

Mangsa didatangi seekor beruang yang menyerangnya dan terpaksa bergelut kira-kira 15 minit sebelum binatang terbabit beredar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Ady Armanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu.

Katanya, anggotanya sudah diarahkan ke lokasi kejadian hari ini untuk melakukan siasatan sama ada perlu dipasang perangkap atau tidak.

“Pihak kami perlu buat siasatan lokasi dahulu. Jika ia berhampiran hutan besar, maka perangkap kurang sesuai kerana sememangnya itu adalah habitat asal beruang.

“Kita juga mungkin mengambil langkah mitigasi lain yang akan cuba di laksanakan bagi menangani masalah serangan beruang,” katanya.

Berita berkaitan

Parah diserang beruang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 4:11 PM