MAYAT Mohd Danish (gambar kecil) yang ditemui lemas di Sungai Paka, Dungun. FOTO ROSLI ILHAM
MAYAT Mohd Danish (gambar kecil) yang ditemui lemas di Sungai Paka, Dungun. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


REMAJA orang kurang upaya (OKU) kategori pembelajaran ditemui lemas selepas terjun ke dalam sungai dekat sungai Seberang Paka, Dungun, malam ini.

Mohd Danish Haikal Jamaluddin, 13, yang tinggal tidak jauh dari kawasan sungai itu ditemui lemas, kira-kira jam 8 malam.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan melihat dua rakannya berusia 10 dan 11 tahun mandi di sungai itu kira-kira jam 6.30 petang.

Mangsa yang seronok melihat dua rakannya dikatakan tiba-tiba terjun ke dalam sungai berkenaan sebelum terkapai-kapai lemas dan meminta tolong.

Dua rakannya dikatakan cuba membantu namun gagal sebelum mangsa tenggelam ke dalam sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd Rezuan Adnan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.04 petang sebelum enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota dengan bantuan penduduk kampung segera melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sebelum remaja itu ditemui di dasar sungai pada kedalaman lima meter.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Paka sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

“Keluarga mangsa sudah dimaklumkan kejadian ini dan setakat jam 9 malam ni, urusan bedah siasat masih dijalankan,” katanya.

Baharudin berkata, pihaknya turut menasihatkan ibu bapa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak mandi di sungai dan pantai tanpa pengawasan bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Ini adalah kes kedua dalam tempoh seminggu yang mana pada 14 Disember lalu, pelajar, Puteri Aniesya Najwa Zamani, 16, ditemui mati lemas di Muara Sungai Paka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 11:26 PM