FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Aizat Shamsuddin


DUA stesen bacaan paras air sungai di Terengganu mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Besut di Jambatan Kampung Keruak, Besut dengan bacaan 35.73 meter dan Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun dengan bacaan 21.36m.

Selain itu, berdasar laman web Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) empat stesen turut mencatatkan bacaan melebihi paras amaran iaitu di Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu (24.04m); Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (36.50m); Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu (20.83m); dan Sungai Peneh di Felda Mengkawang, Hulu Terengganu (37.19m).

Malah hujan sederhana lebat dan renyai-renyai masih berlaku di beberapa lokasi menyaksikan paras air sungai utama negeri ini terus meningkat.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan amaran cuaca waspada dikeluarkan dengan dijangka hujan lebat diramalkan berlaku di Terengganu sehingga esok.

Malah amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua turut dikeluarkan yang mana angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan perairan Kelantan dan Terengganu sehingga esok.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 11:55 AM