PENDUDUK kampung yang berpindah selepas kediaman dinaiki air di Kampung Melayu Mardi, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
PENDUDUK kampung yang berpindah selepas kediaman dinaiki air di Kampung Melayu Mardi, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Ibrahim Isa


SEGAMAT daerah terbaru terjejas banjir di Johor menjadikan empat daerah selepas Kota Tinggi, Mersing dan Kluang.

Sekereteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Segamat berkata, sebuah Pusat Pemindahan Banjir (PPS), Balairaya Kampung Lembah Bakti dibuka 11 pagi tadi bagi menempatkan 97 mangsa daripada 21 keluarga.

“Semua mangsa dari Kampung Lembah Bakti terpaksa dipindahkan selepas paras air di kawasan itu meningkat akibat hujan berterusan.

“Semua agensi terbabit akan terus memantau perkembangan semasa dan meminta kerjasama orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Bahagian Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, Datuk Baderul Sham Saad menasihatkan penduduk di kawasan terjejas banjir supaya mematuhi segala aturan keselamatan elektrik antaranya bagi mereka yang meninggalkan rumah ke (PPS).

Menurutnya, orang ramai perlu memastikan Suis Utama ditutup, segala peralatan elektrik diasing dan ditempatkan di tempat tinggi.

“Pengguna dilarang menghampiri aset dan pepasangan TNB seperti Tiang Elektrik TNB, Pencawang Elektrik TNB.

“Jika terlihat wire dan pepasangan TNB terjatuh di lantai, sila hubungi TNB di talian 15454 dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 1:26 PM