SHAMSUL Ahmad (empat dari kanan) menyerahkan bantuan kotak makanan TNB
SHAMSUL Ahmad (empat dari kanan) menyerahkan bantuan kotak makanan TNB
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekalkan 45 mesin janakuasa bergerak bernilai RM1.73 juta kepada mangsa terjejas banjir di Johor.

Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Shamsul Ahmad berkata, kerja baik pulih dan penyambungan semula bekalan elektrik di beberapa daerah di Johor, Pahang yang terjejas akibat banjir sedang giat dijalankan.

Menurutnya, setakat jam 8 pagi hari ini, bekalan di Johor berada pada kadar 70.68 peratus pulih, Pahang (92.69 peratus), manakala Melaka dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya.

"Bekalan tidak boleh disambung begitu saja kerana penduduk perlu memastikan keadaan rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik.

"Pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul berkata, objektif utama TNB adalah memulihkan aset yang rosak seperti pencawang, tiang elektrik, dan menguji kabel bagi memastikan selamat digunakan.

Katanya, bekalan akan disambungkan secepat mungkin sejurus pemeriksaan menyeluruh dijalankan Suruhanjaya Tenaga (ST) ke atas premis terbabit.

"Dalam suasana banjir terutama premis yang dinaiki air, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati menggunakan peralatan elektrik.

"Jangan menyentuh suis dengan tangan basah atau lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik," katanya.

Sementara itu, atas dasar prihatin terhadap nasib menimpa mangsa banjir, TNB memperuntukkan sebanyak RM50,000 bantuan kewangan dan menyediakan keperluan asas termasuk makanan kepada individu terjejas.

"TNB memastikan bekalan ke semua pisat pemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan baik dan berdaya harap sambil menghulurkan bantuan makanan kepada beberapa PPS di Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru.

"TNB juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang

beralih atau tumbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 4:44 PM