BENDERA parti dipacak di jalan raya utama sepanjang kempen PRN Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.
BENDERA parti dipacak di jalan raya utama sepanjang kempen PRN Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan rapi bagi memastikan bekalan elektrik di pusat pengundian dan penjumlahan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini berada dalam keadaan baik.

Syarikat utiliti elektrik nasional itu juga menasihatkan semua parti politik agar tidak memasang apa bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik TNB.

Ketua (Operasi) Bahagian Rangkaian Pembahagian TNB, Mohd Yusof Ibrahim berkata, persiapan PRN Melaka oleh TNB dimulakan seawal bulan lalu demi kelancaran bekalan sehingga upacara angkat sumpah Ketua Menteri baharu.

Katanya, fokus persiapan adalah memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu sedia bekalan elektrik sentiasa terjamin.

"Seperti kebiasaan, kita pastikan gangguan yang minimum atau tidak berlaku sebarang gangguan sepanjang musim pilihan raya.

"Persiapan TNB membabitkan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Melaka, JKR Melaka dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di pusat yang terbabit," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pelbagai inisiatif lain turut dilaksanakan, antaranya membuat penjadualan henti tugas terancang, pembaikan segera pepasangan kabel bawah tanah dan menaik taraf pencawang sedia ada kepada fasiliti yang dikawal secara automasi melalui sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data Berkomputer (SCADA).

Selain itu, katanya, bilik gerakan negeri dan bilik gerakan operasi juga diwujudkan untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan terkawal dan warga kerja teknikal juga diletakkan dalam keadaan tunggu sedia bagi memastikan kelancaran bekalan sepanjang proses pilihan raya.

Mengenai larangan memasang bahan kempen di premis dan pepasangan elektrik milik TNB, Mohd Yusof menjelaskan ia termasuk menampal atau menggantung bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

Orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar TNB boleh mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 2:57 PM