GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Johor Bahru: Sebanyak 28 pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) terpaksa ditutup atas faktor keselamatan, berikutan banjir yang melanda negeri ini yang kini menjejaskan lapan daerah.

Pengurus Besar TNB Johor Mohamed Noh Md Seth berkata penutupan bekalan itu, menyebabkan gangguan elektrik kepada kira-kira 1,400 pengguna di tiga daerah terbabit iaitu Kluang, Johor Bahru dan Segamat.

Beliau berkata pihaknya sudah menutup bekalan di 22 kawasan yang terjejas bencana berkenaan di Segamat dan tiga kawasan, masing-masing, di Kluang serta Johor Bahru.

"Tindakan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna setempat, sekiranya situasi banjir semakin buruk, berisiko dan membahayakan.

"Kita juga ingin menasihati orang ramai agar mematikan dan mencabut peralatan elektrik, selain mengelakkan daripada mendekati atau pun menyentuh mana-mana pepasangan elektrik," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Terdahulu, 20 pencawang elektrik turut ditutup di daerah Kota Tinggi pada pukul 7.33 pagi, yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada kira-kira 800 akaun pengguna di sekitar daerah itu, sebelum bekalan disambung semula sepenuhnya, pada 1.37 tengah hari tadi.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai status bekalan elektrik di kawasan mereka, orang ramai boleh menghubungi TNB Careline 15454 atau Facebook TNB Careline, sekiranya ternampak pepasangan TNB teralih atau tumbang.

Sebelum ini, tular satu mesej di Whatsapp hari ini yang mendakwa TNB telah menutup bekalan elektrik di Kota Tinggi yang akan menyebabkan daerah itu akan bergelap dan tiada sumber elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 6:26 PM