KEDAI barangan kemas yang dirompak. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahmab
KEDAI barangan kemas yang dirompak. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahmab
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PEROMPAK bersenjata berputih mata selepas gagal melarikan barangan kemas di kedai emas di Kompleks Perniagaan Chin Hin, Arau, hari ini.

Menurut saksi kejadian yang enggan dikenali, dalam kejadian 1.30 tengah hari itu suspek yang memakai topeng mulut berbadan tegap dan tinggi melakukan rompakan bersama seorang lagi rakan yang menunggu di dalam Proton Wira putih diletak di belakang premis itu.

Menurutnya, suasana riuh dan kelam kabut selain sistem penggera keselamatan berbunyi dipercayai menjadi punca suspek gagal melarikan barangan kemas meskipun sudah memecahkan rak cermin pameran.

“Ketika kejadian saya berada berhampiran dengan kedai emas berkenaan dan keadaan ketika itu sangat tenang dan tidak ramai orang.

“Namun tak lama kemudian saya terdengar bunyi cermin pecah dan jeritan orang ramai baik di dalam kedai dan di luar kedai sebelum terdengar suspek menjerit mengarahkan semua pelanggan keluar,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Saksi berkata, dia sempat melihat suspek melarikan diri bersama beg yang menyimpan senapang patah yang digunakan bagi merompak.

“Dia lari ke bahagian belakang kedai bersama seorang lagi rakannya yang sedang menunggu di dalam kereta sejurus penggera keselamatan berbunyi.

“Seorang pelanggan kedai emas terbabit meminta orang ramai menghubungi ambulans kerana terdapat seorang lagi pelanggan mengadu kaki dan tangannya kaku dan payah untuk bergerak kerana trauma dan panik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian berkenaan dan jumlah kerugian sebenar yang dialami pemilik kedai memandangkan mangsa belum membuat laporan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

Berita berkaitan:

  • Rompak kedai emas dengan senapang patah
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 8:52 PM